21 JULAI: Pasukan Misi Humanitarian Mission 4 Palestine (HM4P) yang berada di Kaherah, Mesir dinasihatkan pulang ke Malaysia berikutan keadaan di Gaza yang masih tidak menentu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan berkenaan boleh ke sana semula sekiranya keadaan kembali stabil.
“Insya-Allah jika keadaan stabil mereka boleh ke Gaza semula. Kepada rakyat Malaysia yang dikasihi, setiap orang ada pengorbanannya, dalam pengorbanan juga pasti ada ujiannya.
“Tetapi Allah itu Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, dia mengetahui setiap pengorbanan seorang insan,” katanya.
Ismail berkata demikian menerusi panggilan video bersama pasukan berkenaan yang diketuai Pengerusi Biro Kebajikan Umno Malaysia (BKUM) yang juga Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim semalam.
HM4P melaksanakan misi ke Gaza bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada warga Palestin yang diserang tentera Israel pada Mei lepas.
Seorang anggota Misi Kemanusiaan HM4P, Datuk Dr Noor Azizan Abdul Majid berkata, pihaknya akur dengan nasihat dan pandangan selepas mengadakan perbincangan secara maya bersama Timbalan Perdana Menteri.
Menurut beliau, Ismail Sabri menasihati pasukan misi HM4P agar pulang terlebih dahulu ke Malaysia sementara menanti kelulusan masuk ke Gaza yang dijangka mengambil masa dua sehingga tiga minggu lagi.
“Petang semalam, kami semua telah membuat ujian saringan COVID-19 dan menguruskan semua hal berkaitan kepulangan kami ke tanah air.
“Allahu, 32 hari perjalanan misi ditambah dengan 14 hari lagi tempoh kuarantin bukanlah sesuatu yang mudah. Memang benarlah, perjuangan ini menuntut sebuah pengorbanan yang besar.
“Semoga Allah SWT memberi kekuatan dan semangat kepada kami untuk terus berbakti bukan sahaja kepada negara dan bangsa, tetapi juga kepada masyarakat antarabangsa,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, lewat malam tadi.
Justeru, Noor Azizan mengesahkan misi kemanusian tersebut yang dipimpin oleh Azeez telah ditangguhkan buat sementara waktu sehingga tarikh baharu diperoleh.
“Sungguhpun tiada kerjasama rasmi dua hala antara tentera Mesir dan Malaysia, namun beliau yakin perkongsian maklumat risikan mampu memberi maklumat yang tepat berkaitan keselamatan di semenanjung Sinai dan Gaza,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH