22 JULAI: Jumlah kes positif harian COVID-19 di Malaysia kini kembali mencecah angka melebihi 13,000 kes dengan 13,034 kes dilaporkan hari ini dengan 134 kematian.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dengan pertambahan kes 13,034 kes hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 dilaporkan di Malaysia sekarang ialah 964,918 kes.
Kali terakhir Malaysia mencatatkan angka melebihi 13,000 kes adalah lebih sebulan lalui iaitu pada 15 Julai lalu dengan 13,215 kes.
“Selangor terus kekal menjadi negeri mencatatkan jumlah kes positif harian tertinggi dengan 6,049 kes sekali gus menyebabkan kumulatif kes di negeri ini kini mencecah 343,946 kes.
“Ini diikuti dengan Kuala Lumpur 1,611 kes, Johor (791 kes), Negeri Sembilan (711 kes), Kedah (701), Sarawak (644), Sabah (497), Terengganu (391), Pulau Pinang (371), Melaka (353), Perak (284), Pahang (261), Kelantan (240), Putrajaya (100),
Labuan (24) dan Perlis (6),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata jumlah aktif COVID-19 yang dilaporkan ketika ini adalah 142,051 kes dengan 938 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 459 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.
Beliau berkata dengan 134 kes kematian dalam tempoh 24 jam lalu menjadikan kumulatif kes maut akibat COVID-19 Malaysia kini mencecah 7,574 kes.
“Daripada jumlah 13,034 kes baharu hari ini (22 Julai 2021) 13 kes atau 0.1 peratus adalah kategori 5 (kritikal, gunakan ventilator); Kategori 4 (perlu bantuan oksigen): 72 kes (0.5%); Kategori 3 (radang paru-paru): 124 kes (1.0%); Kategori 2 (gejala ringan): 5,646 kes (43.3%); Kategori 1 (tiada gejala): 7,179 kes (66.1%).
“Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal mereka semasa baharu didiagnosa COVID-19. Ada di antara mereka kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status sama ada bertambah baik, atau merosot ke kategori lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata secara keseluruhannya, pada mula didiagnosa: 1.6 peratus kes dilaporkan hari ini berada pada kategori 3-5 dan 98.4 peratus kes pada kategori 1 dan 2, iaitu Kes kategori 1 dan 2 yang berisiko rendah dan mempunyai kediaman yang sesuai dibenar isolasi di rumah.
“Ini dapat membantu mengurangkan kesesakan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) dan hospital-hospital. Oleh itu, kes-kes kategori 3-5 akan dimasukkan ke PKRC, wad-wad hospital dan juga Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital,” katanya.