22 JULAI : Sebanyak 34 premis meliputi empat kilang dan 30 premis perniagaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Menteri Pertahanan berkata, tindakan itu diambil selepas pihak penguatkuasa melakukan pemeriksaan ke atas 1,735 buah kilang, 15,285 premis perniagaan, 771 tapak pembinaan dan 266 buah asrama penempatan pekerja.
“Kerajaan telah mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang-kilang dan premis-premis perniagaan kerana terlalu banyak pelanggaran arahan kerajaan dan SOP yang telah diwartakan,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut mengesahkan jumlah mereka yang ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam merekodkan jumlah 525 individu telah ditahan atas kesalahan ingkar SOP PKP.
“Daripada jumlah itu, seramai 449 individu dikompaun dan 68 orang lagi telah direman manakala lapan lagi telah diikat jamin.
“Orang ramai diingatkan untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan mengamalkan kawalan kendiri dalam usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH