22 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 32 lagi kluster COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu dengan 21 daripadanya adalah kluster tempat kerja, tujuh kluster komuniti, masing-masing dua kluster pendidikan dan golongan berisiko tinggi.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata semua kluster itu dikesan di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang, Melaka, Pahang, Kedah, Kelantan, Sarawak, Sabah dan Terengganu.
Beliau berkata dengan pertambahan itu jumlah kumulatif kluster COVID-19 dikesan di seluruh negara kini mencecah 3,361 kluster termasuk 2,415 kluster sudah tamat dan 946 masih aktif.
“Sebanyak 134 kes kematian pada hari ini yang melibatkan 39 kes di Selangor, 32 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 18 kes di Negeri Sembilan, 15 kes di Johor, masing-masing tujuh kes di Perak dan Melaka, lima kes di Pahang.
“Selain itu, empat kes di Kedah, masing-masing dua kes di Pulau Pinang, Terengganu, dan Wilayah Persekutuan Labuan, serta satu (1) kes di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata data terkini dikongsi Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan 12 negeri dan wilayah di Malaysia mencatatkan kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau RT melebihi nilai keseluruhan RT kebangsaan iaitu 1.09 dengan tertinggi dicatatkan oleh Terengganu dengan Rt 1.31.
“Negeri lain yang mencatatkan RT melebihi 1.0 adalah, Kedah (nilai RT 1.25), Sabah (nilai RT 1.21), Pulau Pinang (nilai RT 1.21), Johor (nilai RT 1.20), Pahang (nilai RT 1.19), Putrajaya (nilai RT 1.18), Kelantan (nilai RT 1.18), Selangor (nilai RT 1.15), Perak (nilai RT 1.12), Negeri Sembilan (nilai RT 1.10), Melaka (nilai RT 1.10), dan Kuala Lumpur (nilai RT 1.07).
“Manakala negeri mencatatkan nilai RT kurang daripada 1.0 ialah Sarawak (0.95), Labuan (0.73) dan Perlis (sifar),” katanya.