22 JULAI : Kluster Masyarakat MyDIGITAL di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) akan menerajui usaha mempromosi penggunaan e-pembayaran di kalangan pengguna dan peniaga dalam usaha merancakkan transaksi digital yang mudah dan selamat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, keputusan tersebut dibuat melalui mesyuarat ketiga Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin secara maya, hari ini.
“Kempen Hari Tanpa Tunai akan diadakan manakala sistem bayaran dengan aplikasi di terminal stesen minyak akan diperluas. Inisiatif ini sejajar dengan hasrat mewujudkan transaksi tanpa tunai untuk semua perkhidmatan kerajaan menjelang 2022,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Perdana Menteri menerusi perutusan pembukaannya menekankan tentang kepentingan menggunakan pendekatan keseluruhan negara (whole-of-nation) bagi mempercepatkan agenda pendigitalan dan penerokaan teknologi seperti yang terkandung dalam Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia dan Dasar 4IR Negara.
“Ketangkasan transformasi digital secara menyeluruh serta penciptaan dan penerimagunaan teknologi boleh menjadi pemangkin kepada pemulihan ekonomi negara,”
“Pendekatan ini memerlukan kerjasama rapat antara kerajaan, industri dan rakyat untuk bergerak secara serentak dan saling melengkapi bagi mencapai kemakmuran bersama,”katanya.
Menerusi mesyuarat itu juga, Mustapa berkata, Kumpulan Kerja Peraturan dan Undang-Undang MyDIGITAL mencadangkan penggubalan undang-undang baharu dan meminda beberapa peraturan sedia ada bagi mewujudkan suasana kondusif dalam membantu perkembangan pendigitalan.
“Ia termasuk tatacara perkongsian data awam untuk menyokong operasi pelbagai aplikasi digital dan membantu kerajaan membuat keputusan tepat berdasarkan analitik data,” katanya.
Beliau berkata, cadangan itu sudah dipersetujui secara prinsip dan kajian implikasi akan dilaksana oleh Kluster Kerajaan yang diterajui oleh Ketua Setiausaha Negara.
“Antara inisiatif lain yang diberi perhatian adalah memperkenalkan Identiti Digital Nasional dan Tandatangan Digital,” katanya.
Mustapa berkata mesyuarat itu juga mengambil maklum penyelarasan semua strategi dan inisiatif yang dilakukan oleh Pejabat Pengurusan Perubahan Strategik (SCMO) di bawah Unit Perancang Ekonomi (UPE) untuk menyelaraskan pelaksanaan tiga pelan tindakan berkaitan pembangunan digital negara iaitu, Rangka Kerja Ekonomi Digital Malaysia, Dasar 4IR Negara dan Rancangan Malaysia Ke-12.