22 JULAI : Tindakan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mahu mengaudit makmal di Wuhan bagi menyiasat asal usul COVID-19 disifatkan China sebagai perbuatan tidak hormat dan angkuh terhadap sains.
Menerusi satu sidang akhbar, wakil kepada Menteri Kesihatan China, Zeng Yixin berkata beliau amat terkejut dengan cadangan WHO itu yang disifatkan tidak menghormati dan angkuh terhadap sains.
Beijing juga menurutnya, sudah menafikan dengan keras dakwaan virus itu mungkin berpunca daripada kebocoran makmal dan menegaskan ia tidak mungkin berlaku berdasarkan kesimpulan yang dicapai oleh misi bersama WHO-China ke Wuhan pada Januari.
Pengarah Makmal Biokeselamatan Nasional di Institut Virologi Wuhan, Yuan Zhiming berkata tidak ada kebocoran patogen atau kemalangan jangkitan terhadap kakitangan yang berlaku sejak makmal dibuka pada 2018.
Jumaat lalu, WHO berkata, tahap kedua siasatan antarabangsa harus merangkumi pengauditan makmal China, berdasarkan cadangan yang digariskan oleh Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.
Ini termasuk menjalankan audit ke atas makmal dan institusi penyelidikan relevan yang beroperasi di kawasan kes pertama dikesan terhadap manusia yang merujuk kepada Wuhan di China.