22 JULAI: Pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew hari ini mendedahkan semua sumbangannya termasuk empat lori barang perubatan sudah disalurkan kepada penduduk Semenanjung Gaza, Palestin, menerusi Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir.
Berikutan itu Ebit meminta semua pihak berhenti mempertikaikan keikhlasannya membantu penduduk Gaza kerana beliau mengeluarkan duit poket sendiri dan rakannya bagi menjayakan misi bantuan kemanusiaan berkenaan bukannya menggunakan sumbangan orang awam seperti didakwa sesetengah pihak.
Malah, Ebit berkata, dia tidak membawa duit sesiapa daripada kutipan tabung kerana pihaknya tidak pernah membuka sebarang tabung Gaza.
“Saya pergi sana dengan duit saya sendiri dan tidak pernah buka satu tabung pun untuk ke Gaza, Palestin. Saya pergi dengan duit saya bersama sahabat yang sangat rapat dengan saya dan juga ada beberapa rakan di Facebook yang menyumbang.
“Ramai maki saya dakwa saya bawa duit Malaysia ke sana, dalam Live Muhammad Nadir Al-Nuri sebelum ini beliau pernah sebut…beliau mengumpul duit sumbangan yang berjumlah RM20 juta, jadi soalan itu sebenarnya berbalik kepada beliau di mana duit itu?
“Saya yakin dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sana, tetapi saya mahu balikkan soalan itu kepada dia, di mana sumbangan RM20 juta, ada resit ada bukti?,” katanya pada sidang akhbar khas secara langsung di Instagramnya hari ini.
Terdahulu, Ebit membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, semalam, bagi menafikan pelbagai tuduhan dilemparkan ke atasnya berhubung misi kemanusiaan ke Semanjung Gaza, Palestin, baru-baru ini.
Ebit juga menegaskan dakwaan dibuat beberapa pihak mengenai isu misi kemanusiaan di Semenanjung Gaza, Palestin, baru-baru ini, sebagai melampau.
Tuduhan oleh beberapa pihak termasuk penyanyi rap, Ariz Ramli atau Caprice dan rakyat Malaysia yang tinggal di Gaza, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamarulzaman atau dikenali sebagai Nadir Al-Nuri adalah tidak berasas sehinggakan mengganggu emosi ahli keluarga serta pasukannya.
Menjawab persoalan yang dibangkitkan Muhammad Nadir Al-Nuri mengapa pihaknya membeli barang keperluan di Cairo, Mesir, di mana katanya persoalan itu sepatutnya tidak dibangkitkan kerana satu-satunya NGO dibenarkan ialah Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir.
“Sebenarnya persoalan ini tidak patut timbul, kerana satu-satunya NGO yang dibenarkan ialah Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir.
“Hal-hal bantuan memang melalui persatuan Bulan Sabit Merah Mesir. Saya beli barang perubatan empat lori di Mesir, semua sudah masuk. Di Gaza juga saya ada beli barang sumbangan. Saya guna juga duit saya beli barangan di Mesir,” katanya.