22 JULAI: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebentar tadi, menyertai Program ‘Malaysia Berzikir’ yang disiarkan secara langsung dalam rancangan Forum Perdana Ehwal Islam menerusi Facebook Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan RTM1.
Program anjuran JAKIM berkenaan disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Al-Bakri dan Timbalannya, Datuk Ahmad Marzuk Shaary.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, tujuan utama program berkenaan dianjurkan adalah bagi memohon pertolongan daripada Allah SWT supaya rakyat Malaysia diberikan keselamatan, kerahmatan, keampunan dan perlindungan daripada ancaman wabak COVID-19.
Beliau berkata program berkenaan sebagai kesinambungan usaha dan ikhtiar Malaysia dalam menghadapi pandemik Covid-19 di negara ini.
“Sejurus selepas program tersebut, rancangan Forum Perdana Ehwal Islam bertajuk Menginsafi Hikmah akan melengkapkan Program Malaysia Berzikir dengan perbincangan bersama panel-panel yang diundang.
“Antara panel itu ialah Pakar Motivasi, Datuk Dr. Mohd. Fadhilah Kamsah; Pensyarah Kanan Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail dan pendakwah, Muhammad Ashraf Ridzuan,” katanya dalam kenyataan malam ini.