22 JULAI: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin sambutan Hari Sarawak hari ini tetap diraikan seluruh rakyat negeri ini dengan penuh makna mengikut cara dan konsep tersendiri.
Menurutnya, biarpun tanpa aktiviti bersemuka dan berkumpul ekoran pandemik COVID-19 sambutan itu pastinya amat bermakna kepada rakyat Sarawak.
“Ini kerana pada tarikh 22 Julai, 58 tahun lalu, Sarawak secara rasmi mula ditadbir oleh anak Sarawak sendiri.
“Selamat menyambut Hari Sarawak kepada seluruh rakyat Sarawak. Sarawak gemilang untuk semua,” katanya dalam hantaran di akaun Facebook, hari ini.
Hari Sarawak diraikan bagi memperingati tarikh penyerahan pentadbiran negeri ini kepada anak watan Sarawak oleh penjajah British pada 22 Julai 1963.
Sebelum itu, Sarawak diberikan kemerdekaan oleh Kesultanan Brunei pada tahun 1841, namun menjadi naungan British sejak 1888.