23 JULAI: Jumlah pemberian vaksin harian COVID-19 melepasi angka 500,000 semalam selepas mencatatkan sebanyak 507,050 dos suntikan, jumlah tertinggi setakat ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dengan rekod tersebut menjadikan jumlah kumulatif individu yang telah menerima dos pertama sehingga semalam ialah 10,920,862 dan manakala 5,104,054 individu telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.
Menurut beliau, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) juga berjaya merekodkan pemberian dos harian sebanyak lebih 400,000 dos hampir setiap hari bermula sejak 12 Julai lalu.
“Sukacita saya juga ingin mengumumkan bahawa seramai 46.7 peratus daripada populasi dewasa di Malaysia telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos dan seramai 21.8 peratus pula telah mendapat dos yang penuh.
“Pencapaian ini selari dengan sasaran yang ditetapkan dan sudah semestinya perlu dipertingkatkan lagi supaya sasaran 26 juta penduduk Malaysia menerima vaksinasi lengkap berjaya dicapai,” kata Perdana Menteri menerusi media sosial rasminya, hari ini.
Dalam pada itu, Muhyiddin memaklumkan dengan vaksinasi, pelbagai pihak akan dapat membantu mengurangkan beban kes di hospital dan mengurangkan kes-kes jangkitan yang teruk.
“Seterusnya melancarkan usaha menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN). InsyaAllah…terima kasih dan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia atas sokongan terhadap PICK.
“Khususnya kepada petugas-petugas barisan hadapan dan sukarelawan PPV yang membantu melancarkan pelaksanaan program ini,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH