23 JULAI: Bekas Ketua Bahagian MCA Marang meninggal dunia manakala anak sedaranya parah selepas ditembak oleh jirannya dengan senapang patang dalam satu kejadian di Taman Raya Wakaf Tapai, Marang, Terengganu, hari ini.
Berikutan itu, mangsa, Fong Swee Fuan, 65, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala, anak saudaranya, Teo Hock Beng, 45, pula cedera parah dan dirawat di Hospital Hulu Terengganu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, sebelum kejadian, dua mangsa bersama suspek dikatakan berada di kawasan rehat di taman perumahan berkenaan sebelum berlaku insiden berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan pada jam 2 petang sebelum sepasukan pegawai dan anggota bergegas ke lokasi kejadian.
Rohaimi berkata, siasatan awal mendapati suspek yang berusia 56 tahun melepaskan dua das tembakan menggunakan senapang patah dipercayai milik Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ke arah kedua-dua lelaki terbabit.
“Sebelum meninggalkan lokasi kejadian, suspek ada mengeluarkan amaran yang dia mempunyai 75 butir peluru dan akan membunuh lebih ramai orang sebelum membunuh diri.
“Suspek yang melarikan diri menaiki sebuah jip bagaimanapun berjaya ditahan di kawasan kebun di Durian Mentangau, Dungun kira-kira jam 4.20 petang tadi.
“Kita turut merampas senjata yang digunakan suspek untuk menembak kedua-dua mangsa,” katanya sidang media di lokasi kejadian petang tadi.
Mengulas lanjut, Rohaimi berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan suspek adalah kawan rapat serta tinggal di kawasan perumahan sama.
Katanya, motif sebenar kejadian berkenaan masih dalam siasatan dan masyarakat diminta tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian ini.
“Mengenai dakwaan yang mengatakan kejadian ada kaitan dengan kes judi dan minuman keras, tiada sebarang botol minuman keras atau unsur perjudian di lokasi kejadian.
“Kita sedang mengesan saksi kejadian bagi membantu siasatan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Kuala Terengganu untuk bedah siasat manakala anak saudaranya yang cedera dibawa ke Hospital Hulu Terengganu,” katanya.