23 JULAI: Semua keputusan ujian saringan kit kendiri COVID-19 sama ada positif, negatif atau tidak sah (invalid) perlu dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi aplikasi MySejahtera.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata orang ramai perlu bertanggungjawab untuk melaporkan keputusan sebenar dan tidak memalsukannya bagi mencegah penularan COVID-19 kepada orang lain.
Dr Adham berkata jika keputusan ujian kit kendiri positif, pengguna perlu hadir ke fasiliti kesihatan swasta, Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) atau mana-mana Klinik Kesihatan (KK) untuk tujuan penilaian kesihatan, sebelum status kesihatan mereka dimuat naik dalam aplikasi MySejahtera.
“Sekiranya keputusan negatif tetapi individu berkenaan bergejala, mereka turut dinasihatkan hadir ke klinik swasta atau KK untuk penilaian sama, manakala untuk keputusan invalid, pengguna perlu ulang semula ujian,” katanya dalam sidang media mingguan CITF secara maya hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, KKM menerusi Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) memberi kelulusan bersyarat kepada tiga jenis kit ujian kendiri COVID-19 untuk dijual dan diguna di negara ini.
Kit berkenaan ialah Kit Ujian Pantas Antigen Salixium COVID-19 buatan syarikat tempatan; Reszon Diagnostics International Sdn Bhd; Gmate(R) COVID-19 buatan Korea Selatan dan Beright COVID-19 Antigen Rapid Test Device (Oral Fluid) yang dibuat Hangzhou Alltest Biotech Co., Ltd.
Dalam perkembangan lain, Dr Adham Baba, menafikan berlaku isu kekurangan alat bantuan oksigen di Hospital Ampang seperti dilaporkan sebelum ini.
Beliau berkata, semua pesakit kategori empat dan lima COVID-19 di hospital itu yang memerlukan bantuan terapi oksigen diberikan alat bantuan melalui syarikat yang membekalkannya sebanyak dua kali sehari.
“Tidak ada isu mengenai kekurangan bekalan oksigen di Hospital Ampang. Purata kematian dalam kalangan pesakit Hospital Ampang sejak 20 Julai lalu adalah sebanyak 10 hingga 11 kes sehari, berikutan peningkatan kes pesakit bagi kategori empat dan lima dengan komorbid,” katanya