23 JULAI: Walaupun hanya 72 petugas dari pelbagai agensi media sahaja dibenarkan membuat liputan Sidang Khas Parlimen mulai hari Isnin depan, namun sekretariat Parlimen telah menyediakan kemudahan platform sidang media secara hibrid ketika sidang Parlimen berlangsung kelak.
Biarpun kehadiran pihak media secara fizikal di Bangunan Parlimen adalah terhad kerana kekangan Covid-19, namun dengan adanya kemudahan platform sidang media secara hibrid itu, pengamal media dapat melakukan sesi temu bual interaktif secara eksklusif dengan ahli-ahli Dewan Rakyat melalui aplikasi Zoom.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, langkah itu dilakukan dengan mengambil kira keperluan untuk memastikan sebanyak mungkin agensi berita, jenis serta bahasa penyiaran berita dan keluasan liputan agensi-agensi berkenaan untuk menjamin liputan sidang khas yang bermutu yang boleh diikuti oleh semua lapisan masyarakat.
“Sidang media dan temu bual secara maya ini akan dapat memberi peluang kepada semua pengamal media yang tidak dapat hadir secara fizikal di Bangunan Parlimen untuk mengambil bahagian di dalam semua sidang media ataupun temu bual yang mungkin diadakan oleh mana-mana ahli Parlimen ketika sidang khas diadakan.
“Bagi tujuan ini, Parlimen Malaysia akan menyediakan satu bilik khusus yang akan menempatkan dua buah komputer berserta kelengkapan audio visual dengan pautan Zoom khas.
“Ini demi memenuhi kehendak kebebasan media dan kebebasan bersuara seperti yang dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Kata Azhar lagi, Parlimen membuat keputusan untuk menghadkan kehadiran media selepas timbul kebimbangan situasi semasa penularan Covid-19 termasuk varian Beta dan Delta yang kini sudah berada dalam komuniti dan masyarakat beberapa kawasan di negara ini.
“Mengambil kira perkara-perkara tersebut dan demi menjaga kebaikan dan kesejahteraan semua pihak yang akan berada di kawasan Parlimen semasa sidang khas yang akan bermula pada 26 Julai ini, Parlimen memutuskan untuk mengehadkan jumlah kehadiran orang ramai di Bangunan Parlimen.
“Langkah ini adalah perlu demi membendung dan mengurangkan risiko penularan Covid-19 semasa sidang khas tersebut,” ujarnya
Dalam pada itu, Azhar berkata, pihak media boleh menghubungi Setiausaha Akhbar Yang Dipertua Dewan Rakyat atau Bahagian Komunikasi Korporat (BKK) Parlimen sekiranya ingin mengadakan sesi interaktif bersama mana-mana ahli Parlimen.
“Begitu juga sebaliknya, mana-mana ahli Parlimen juga boleh berbuat demikian untuk berinteraksi secara eksklusif dengan mana-mana wakil media sama ada secara berkumpulan atau individu (one to one).
“Sementara itu, liputan sidang media secara langsung melalui YouTube Live Stream di pusat media pada kali ini akan diberi sentuhan pembaharuan dengan memperkenalkan inovasi di mana wartawan yang berada di luar Bangunan Parlimen juga boleh turut hadir secara maya dengan capaian aplikasi Zoom yang akan disediakan,” katanya.