23 JULAI : Polis Perak telah membuka kertas siasatan berhubung sebuah helikopter yang mendarat di Padang Ipoh yang tular di media sosial, dipercayai mengambil tempahan nasi ganja hari ini.
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalatrash Wahid, siasatan akan dilakukan di atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) larangan merentas daerah dan negeri.
“Polis telah membuka kertas siasatan berhubung perkara itu berdasarkan kesalahan melanggar SOP merentas daerah dan negeri terhadap individu dan syarikat penerbangan berkenaan.
“Kes akan disiasat di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB 2020) Akta 342,” jelasnya kepada pemberita hari ini.
Menjadi tular di media sosial berikutan sebuah helikopter milik syarikat swasta yang dinaiki dua lelaki mengejutkan orang ramai apabila melakukan pendaratan di Padang Ipoh hari ini.
Helikopter tersebut dikesan telah mendarat pada jam 9.55 hingga 10.15 pagi bagi mengambil pesanan 36 bungkus nasi ganja dari sebuah kedai nasi kandar terkemuka di bandar raya ini.
Semakan polis dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Ipoh mendapati helikopter tersebut hanya mendapat kebenaran untuk mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh sahaja.