23 JULAI : Pelakon Puteri Sarah tidak mahu ketinggalan dalam kerja amal apabila beliau bersama Pertubuhan Kami Insan Tanahair (KITA) bersama-sama turun padang bagi mengagihkan daging korban kepada penduduk di kawasan Merbok, Kedah.
Puteri Sarah dalam satu kenyataan mengucapkan terima kasih kepada NGO KITA kerana memberi peluang kepadanya untuk bersama menyantuni penduduk di kawasan tersebut.
“Alhamdulillah dan terima kasih kepada Pertubuhan Kami Insan Tanah Air, kerana memberi peluang kepada saya untuk bersama mereka menyantuni warga Merbok dengan agihan daging korban sempena Aidiladha tahun ini”.
“Saya menerima pelawaan untuk menyertai program ini melalui Pegawai Khas Pengerusi Tenaga Nasional Berhad, TNB, Saudara Aizat Azam, kerana saya merasa terpanggil untuk turun padang membantu masyarakat yang mengalami kesukaran diwaktu pandemik Covid-19 sekarang ini.
“Ini bukan soal mencari publisiti disebalik kesusahan orang lain, tetapi ini untuk menginsafkan dan muhasabahkan diri saya sendiri dengan melihat kesusahan orang lain”, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, menurut Aizat Azam yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Merbok, program agihan daging korban itu akan diteruskan setiap tahun sebagai sebahagian daripada sambutan Aidiladha dan juga untuk berkongsi kegembiraan dengan warga Merbok yang memerlukan bantuan.
“Kami sebagai Pemuda di Merbok sentiasa prihatin dan melaksanakan tanggungjawab sosial kami dengan pelbagai cara. Bukan sahaja daging korban, sebelum ini kami juga mengedarkan barangan keperluan asas lain iaitu bakul makanan untuk mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19”.
Tambah beliau, program Ibadah Korban Perdana Pemuda Merbok mula dilaksanakan sejak tiga tahun lalu.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat di dalam penganjuran program ini terutama Pertubuhan Kami Insan Tanah Air (KITA) kerana sudi bersama Pemuda UMNO Merbok dan ini merupakan kali pertama KITA menjalin kerjasama dengan kami.
“Saya harap jalinan kerjasama ini akan diteruskan di dalam lain-lain program kebajikan untuk rakyat Merbok,” ujarnya.