23 JULAI: Kerajaan bersetuju membenarkan syarikat farmaseutikal Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) menjual vaksin Sinovac kepada sektor swasta, mulai Ogos ini.
Sebelum ini kerajaan menetapkan bahawa Pharmaniaga hanya boleh menjual bekalan vaksin kepada pihak swasta dan kerajaan negeri selepas mereka selesai memenuhi pesanan dibuat Kerajaan Persekutuan.
Berikutan itu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, berkata kerajaan menerusi Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) akan menetapkan syarat dan garis panduan termasuk harga siling jualan vaksin Sinovac pada minggu depan.
Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata penetapan harga siling berkenaan penting bagi memastikan bekalan vaksin terbabit tidak dijual pada harga terlalu tinggi.
“Saya ingin menjelaskan bahawa Pharmaniaga sudah memberikan semua (vaksin) kepada kerajaan malah akan ada lagi beberapa tempahan tambahan daripada Pharmaniaga.
“Perkara ini sudah dipersetujui bahawa pada masa akan datang, apabila kerajaan sudah menerima bekalan yang mencukupi, kami akan membuka (penjualan) bekalan kepada pasaran supaya ia dapat sampai ke sasaran yang lebih besar,” katanya pada sidang media mingguan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) secara maya hari ini. Yang turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
Mengulas lanjut, Khairy berkata vaksin Sinovac tidak dihentikan daripada PICK kerana bekalannya sudah selesai diberi dan dihantar kepada kerajaan.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini dilaporkan berkata, sebanyak 14 juta dos vaksin Sinovac akan dijual Pharmaniaga Bhd kepada syarikat swasta dan negeri yang berminat mulai bulan ini sehingga September.
Timbalan Perdana Menteri berkata, penjualan vaksin secara terus kepada pihak yang berminat itu sudah mendapat kebenaran Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).
Beliau berkata, dengan adanya tempahan khusus untuk kerajaan negeri dan swasta termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) akan membantu kerajaan mencapai imuniti kelompok lebih awal.
“Pharmaniaga sudah selesai hantar bekalan kepada kita walaupun ada sedikit tambahan perolehan kita akan buat.
“Sinovac tidak dihentikan daripada PICK. Bekalan Sinovac telah selesai diberi dan dihantar ke Kerajaan Persekutuan. Sebab itu Sinovac diberi dengan kuantiti kurang dalam PICK, we have not pull out Sinovac from PICK.
“Pharmaniaga hantar semua dos vaksin itu kepada Kerajaan Persekutuan dan ada lagi perolehan baharu daripada syarikat itu,” katanya.