24 JULAI: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) buka kertas siasatan sama ada pengendali helikopter Bell 505, yang mendarat di padang Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Perak, pagi semalam, dipercayai untuk mengambil tempahan ‘nasi ganja’ kedai makan berhampiran.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kapten Chester Voo, berkata siasatan menjurus kepada sama ada pengendali helikopter syarikat swasta yang mendarat melaksanakan operasi penerbangan dalam skop diluluskan atau sebaliknya.
Malah, Chester berkata siasatan awal mendapati, helikopter dikendalikan oleh Systematic Aviation Services Sdn Bhd (SAS) itu berlepas pada jam 9.08 pagi dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAS), Subang Jaya.
“Helikopter berkenaan ke Ipoh dan kembali ke LTSAS pada jam 11.02 pagi seperti yang difailkan dalam penerbangan.
“CAAM telah menjalankan siasatan segera bagi menentukan sama ada helikopter berkenaan melanggar mana-mana peraturan seperti yang tertakluk dalam Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 2016 dan arahan penerbangan awam (CAD),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan Polis Perak telah membuka kertas siasatan berhubung sebuah helikopter yang mendarat di Padang Ipoh yang tular di media sosial, dipercayai mengambil tempahan nasi ganja, semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalatrash Wahid, dipetik sebagai siasatan akan dilakukan di atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) larangan merentas daerah dan negeri.
Berikutan itu polis telah membuka kertas siasatan berhubung perkara itu berdasarkan kesalahan melanggar SOP merentas daerah dan negeri terhadap individu dan syarikat penerbangan berkenaan.
Mior Faridalatrash berkata kes berkenaan akan disiasat di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB 2020) Akta 342.
Menjadi tular di media sosial berikutan sebuah helikopter milik syarikat swasta yang dinaiki dua lelaki mengejutkan orang ramai apabila melakukan pendaratan di Padang Ipoh hari ini.
Helikopter tersebut dikesan telah mendarat pada jam 9.55 hingga 10.15 pagi bagi mengambil pesanan 36 bungkus nasi ganja dari sebuah kedai nasi kandar terkemuka di bandar raya ini.
Semakan polis dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Ipoh mendapati helikopter tersebut hanya mendapat kebenaran untuk mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh sahaja.
Dalam pada itu, Chester menegaskan, semua pengendali pesawat harus mematuhi peraturan seperti tertakluk dalam CA2, Bahagian 3.1 Protection of Persons and Property, serta peraturan lain berkaitan.
“CAAM akan terus memastikan semua pengendali pesawat mematuhi peraturan dan piawaian keselamatan yang telah ditetapkan demi keselamatan industri dan orang awam,” katanya.