24 JULAI : Garis Panduan Sanitasi dan Disinfeksi Kemudahan Awam dan Premis di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah diluluskan dalam mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-78 pada 13 Julai lalu.
Mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof serta dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida memutuskan garia panduan itu akan diguna pakai sebagai panduan kepada PBT dan pihak berkepentingan untuk menjalankan kerja sanitasi dan disinfeksi di semua kemudahan awam dan premis di kawasan PBT.
Dalam satu kenyataan , Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata, garis panduan itu bertujuan mewujudkan keseragaman PBT dalam melaksanakan tindakan pencegahan penyakit berjangkit di tempat awam.
“Mesyuarat turut bersetuju terhadap pemakaian Garis Panduan Pengurusan Cerun di kawasan PBT bagi mewujudkan satu sumber rujukan pengurusan cerun untuk pelaksanaan lebih efisien dan berkualiti.
“Garis panduan ini memperjelaskan dengan terperinci penekanan kepada pengurusan cerun di kesemua peringkat bermula daripada perancangan pembangunan, reka bentuk, pembinaan, pendaftaran dan penyenggaraan,
“Ia juga akan mewujudkan dasar dan tanggungjawab kepada pemilik, pemegang lesen atau pengurus premis yang mempunyai akses kepada orang awam untuk menjalankan aktiviti sanitasi dan disinfeksi secara kendiri di premis masing-masing,” katanya.
Mesyuarat juga bersetuju terhadap cadangan Pindaan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (UKBS 1984) bagi tujuan penyesuaian dengan amalan dan praktis kesenibinaan dan kejuruteraan masa kini, selain bertindak sebagai mekanisme penyelarasan standard dan garis panduan semasa, serta membolehkan dasar-dasar baru kerajaan dikuatkuasakan, kata kenyataan itu lagi.
“Cadangan pindaan itu menyasarkan penerimaan pemakaian oleh pihak berkuasa negeri (PBN) melalui pewartaan satu undang-undang kecil untuk dikuatkuasa oleh PBT.
“Turut diluluskan pada mesyuarat berkenaan adalah pemakaian Garis Panduan Perancangan Penginapan Pekerja Berpusat (CLQ) yang boleh digunakan sebagai rujukan oleh kerajaan negeri, PBT dan pihak yang terbabit,” jelas kenyataan itu.
Ini adalah bagi tujuan penyeragaman dan penyelarasan keperluan teknikal, prosedur permohonan dan syarat lain dalam pelaksanaan dan kawalan pembangunan penginapan pekerja berpusat di peringkat negeri dan tempatan untuk jangka masa panjang, katanya lagi.