25 JULAI: Persidangan Khas Parlimen esok diharapkan dilaksanakan dengan beradab dan tertib yang tinggi di samping memberi ruang kepada semua pihak untuk mengemukakan hujah dan pandangan masing-masing.
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata semua Ahli Parlimen perlu memfokuskan segala perbahasan kepada kebajikan rakyat dan kesejahteraan negara.
Beliau turut menegaskan agar perbuatan menghina, apatah lagi bergaduh antara satu sama lain perlu dielakkan di persidangan Dewan Rakyat.
“Dewan yang mulia tersebut perlu dihormati kemuliaannya, tidak dinodai dengan perkara-perkara yang tidak seharusnya berlaku. Sesungguhnya rakyat memerhati.
“Berbalik kepada Sidang Khas Parlimen esok, kita lihatlah bagaimana aksi dan reaksi wakil rakyat kita dalam sidang khas tersebut. Rakyat memantau apa yang sedang berlaku. Rakyat mahukan pembelaan semasa pandemik COVID-19 ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Zainul Rijal memaklumkan persidangan khas esok pastinya menjadi perhatian kerana pembukaan ini amat dinanti-nantikan oleh orang ramai agar Ahli-Ahli Parlimen dapat menyuarakan permasalahan yang dihadapi rakyat.
Beliau menyakini bahawa rakyat akan tekun memerhati gelagat Ahli Parlimen sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang pada persidangan Dewan Rakyat.
“Sudah ramai hilang kepercayaan kepada ahli politik kita yang dilihat hanya mahu mempertahankan kuasa ataupun merebut kuasa.
“Kesejahteraan negara dan kebajikan rakyat tidak diutamakan. Kekurangan majoriti jelas parti politik di Dewan Rakyat di kedua-dua belah pihak menghakis keupayaan kerajaan dalam mentadbir negara dengan baik.
“Disebabkan itulah timbul idea seperti kerajaan teknokrat, Mageran dan juga piagam rakyat. Ini adalah manifestasi kepada perasaan rakyat yang sudah hilang kepercayaan kepada politikus dalam negara,” katanya.
Dewan Rakyat akan bersidang seperti yang dijadualkan bermula 26 Julai ini mengikut Peraturan 11(3) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat bagi faedah orang ramai.
Jusreru, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menyeru agar semua Ahli Parlimen hendaklah sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelaksanaan Persidangan Parlimen yang telah ditetapkan.