25 JULAI: Aktiviti Hari Raya Aidiladha dan kluster di pasar harian mencetuskan peningkatan kes COVID-19 di Kelantan sejak beberapa hari lalu.
Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Dr Zaini Hussin, pihaknya turut mengesan kes pertama melibatkan varian Delta di negeri itu.
“Hampir setiap hari kita rasa bimbang dari segi peningkatan kes, tetapi kita sentiasa memantau.
“Jadi mungkin kelmarin ada peningkatan yang agak mendadak yang disebabkan aktiviti hari raya dan sebagainya,” katanya selepas meninjau Program Outreach Imunisasi COVID-19 Kebangsaan du Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Bunga di Tanah Merah, hari ini.
Mengulas kewujudan varian baharu di Kelantan, Dr Zaini berkata satu kes varian Delta dikesan di Pasir Puteh dan terdapat 74 sampel lagi yang diambil serta dihantar ke makmal untuk diuji.
“Sampel berkenaan dijangka keluar keputusan dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi.
“Nasihat saya kepada masyarakat supaya berhati-hati dan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerana varian baharu ini seperti yang diumumkan Ketua Pengarah Kesihatan kadar kebolehjangkitannya lebih tinggi,” katanya lagi.