26 JULAI: Sebanyak 12 lokaliti di Sabah, Pahang dan Kelantan akan dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) selama dua minggu mulai Rabu ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lokaliti di Sabah ialah di Kampung Kauran, Keningau; tiga perkampungan di Sipitang iaitu Kampung Menengah, Kampung Buang Sayang dan Kampung Pasir Putih Sipita; Kampung Mostyn Lama, Kunak serta Perumahan Ladang Pontian Kuril di Kinabatangan.
Beliau memberitahu, turut terbabit ialah Taman Kinarut Ria, Papar dan Kampung Tawadakan, Kota Belud.
“Tiga lokaliti di Pahang ialah di Sungai Klau dan Sungai Chalit, Mukim Gali, Raub; Tapak Bina IBN Highland Genting Highlands, Bentong dan Kampung Pagar Batu 6 Penjom, Lipis manakala lokaliti di Kelantan ialah di Kampung Telaga Tujoh, Labok, Machang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, beberapa lokaliti yang dilanjutkan PKPD bermula 28 Julai ialah Felda Maokil, Muar, Johor dan Kampung Madsiang, Penampang, Sabah.
Tambah beliau, pelaksanaan PKPD juga dilanjutkan bagi tempoh yang sama untuk lokaliti di kawasan sekitar Kampung Patikang Ulu, Keningau, Sabah yang terdiri daripada Kampung Patikang Ulu, kilang dan kuarters Focus Lumber, lilang dan kuarters Veracity, kilang dan Kuarters Hasil Jadi, Pusat Memandu IDA dan penempatan warga Indonesia.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD mengikut jadual pada 27 Julai ini bagi dua lokaliti di Pahang iaitu Felda Lembah Klau, Mukim Gali, Raub dan Flat Taman Benus Jaya, Bentong.
Turut dijadualkan tamat pada Selasa mengikut jadual ialah Taman Muhibbah Fasa 1, 2 dan 3, Beaufort, Sabah dan dua lokaliti di Penampang, Sabah iaitu di Apartment Beverly Hills Fasa dan Kampung Kobusak.
“Lokaliti kampung Kendaie dan Kampung Bukit Batu, Lundu, Kuching, Sarawak serta Kampung Bukit Tanah, Mukim Bukit Jawa, Pasir Puteh, Kelantan juga akan ditamatkan mengikut jadual pada 27 Julai ini,” katanya.