26 JULAI: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mendedahkan bahawa 92 peratus kes baharu COVID-19 hari ini tiada sejarah vaksinasi.
Beliau menambah 97.9 peratus daripada 95 pesakit dalam kategori 5 juga tiada sejarah vaksinasi.
Justeru, beliau mengingatkan orang ramai betapa pentingnya mendapat suntikan vaksin.
“Segeralah dapatkan vaksinasi agar anda dan keluarga terlindung daripada bahaya jangkitan COVID-19.
“Peratusan lebih tinggi pesakit kini di hospital adalah dalam Kategori 3 hingga 5,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan kadar vaksinasi bagi pesakit kategori lain ialah 77 kes Kategori 4 (memerlukan bantuan oksigen), 85.7 peratus daripadanya tidak divaksin; 83 kes Kategori 3 (radang paru-paru), 67.5 peratus daripadanya tidak divaksin.
Selain itu katanya, sebanyak 7,045 kes Kategori 2 (gejala ringan), 87.6 peratus tidak divaksin dan 7,216 Kategori 1 (tidak bergejala), 95.6 peratus tidak divaksin.
Menurutnya ini kerana kebanyakan pesakit Kategori 1 dan 2 menjalani kuarantin di rumah selepas dikenal pasti sebagai berisiko rendah dan memenuhi syarat ditetapkan.