26 JULAI: Kerajaan Malaysia peruntukan pakej rangsangan ekonomi lebih besar bagi membantu rakyat terkesan akibat COVID-19 lebih besar daripada negera lain di rantau Asia.
Ahli Parlimen PAS-Pas Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata berdasarkan kajian dilakukan oleh LAKSANA menunjukkan Malaysia memperuntukan 22.7 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Ahmad Fadhli berkata, peratusan berkenaan adalah lebih berbanding apa diperuntukan oleh Indonesia (4.9 peratus), Filipina (13.8 peratus), Singapura (9.3) dan Thailand (12.9).
“Jadi tidak betul jika ada pihak mengatakan Malaysia sudah gagal. Pada saya kerajaan tidak gagal cuma belum berjaya mengawal COVID-19 sepenuhnya,” katanya ketika berucap di sesi penerangan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Sidang Khas Parlimen, hari ini.
Berikutan itu, Ahmad Fadhli mencadangan beberapa perkara termasuk meminta kerajaan meningkatkan perbelanjaan pengguna pasc vaksinasi termasuk dengan memperkenalkan baucer untuk pelancongan domestik dan pembelian barangan, baucer diskaun untuk pembelian barangan mewah.
Beliau berkata langkah berkenaan mampu meningkatkan perbelanjaan rakyat bagi memberikan suntikan kepada kegiatan ekonomi domestik.
Sementara itu, Ahli Parlimen BN-Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan, pula mengemukakan lebih 30 cadangan kepada kerajaan untuk menambah baik PPN dibentangkan Perdana Menteri di Parlimen hari ini.
Bekas Timbalan Menteri Kewangan itu berkata PPN perlu memastikan ekonomi rakyat diperbaiki bukan hanya negara sahaja termasuk mampu mengatasi masalah pengangguran termasukan dalam kalangan graduan.
Katanya, PPN juga perlu memastikan hutang negara dikawal, defisit dapat di atasi, pelaburan ekonomi negara dipulihkan dengan kaedah ‘V curve’.
Katanya, kerajaan juga mempercepatkan bantuan kewangan COVID-19 lebih awal daripada bulan September termasuk Bantuan Prihatin Rakyat (BKR), Bantuan Prihatian COVID-19 (BPC) dan penerima Geran Khas Prihatin (GKP) tanpa terlalu banyak halangan dan syarat.
“Program vaksinasi perlu dilakukan dengan lebih pantas bagi memastikan sasaran 80 peratus penduduk dewasa di Malaysia dapat divaksinasi dan negara mencapai tahap imuniti kelompok seawal bulan Oktober nanti.
“Untuk itu, kerajaan juga perlu menambah bilangan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terutama di negeri kurang kadar vaksinasi, selain 644 PPV sedia ada,” katanya.
Beliau berkata Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga wajar mengemas kini data rakyat terjejas akibat pandemik COVID-19 kerana ramai golongan M40 kini sudah jatuh ke dalam B40, sejak awal tahun ini.
“Skim i-Citra perlu ditambah baik dengan membenarkan pengeluaran secara sekaligus RM5,000 berbanding RM1,000 sebulan selama lima bulan.
“Pencarum KWSP perlu diberikan akses kepada akaun 1 KWSP bukan hanya akaun 2 dengan mempermudahkan pengeluaran i-Citra,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad berkata kerajaan perlu memudahkan proses permohonan moratorium tanpa memerlukan banyak dokumen pembuktian pengurangan pendapatan.
“Kerajaan juga wajar menambah suntikan fiskal dengan menambahkan bantuan kewangan kepada golongan M40 selain B40,” katanya.