26 JULAI : Semua ahli Parlimen sama ada kerajaan mahupun pembangkang diseru memainkan peranan bersama dalam menyelesaikan wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan demi kepentingan rakyat.
Ahli Parlimen BN Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, permasalahan COVID-19 bukan sahaja dihadapi oleh Malaysia namun jangkitan virus tersebut sedang diperangi dan merupakan satu permasalahan yang dihadapi seluruh dunia.
“Ini peranan ahli-ahli parlimen sama ada pembangkang dan kerajaan seperti di negara lain memikirkan bagaimana hendak selesaikan masalah pandemik ini,”.
“Bukan nak cari salah kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN). Semua perlu memainkan peranan dan perancangan mengatasi permasalahan COVID-19,” katanya ketika sesi perbahasan Pelan Pemulihan Negara di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Jalaluddin turut menegaskan agar Kementerian Komunikasi dan Multimedia melakukan tindakan proaktif memberi penerangan secara jelas kepada orang ramai berkaitan tindakan baharu kerajaan berkaitan COVID-19 di samping mengharapkan agar semua hospital swasta dapat bersama kerajaan dalam menangani pandemik.
Sementara itu, Ahli Parlimen BN Jempol, Datuk Salim Sharif ketika menyampaikan perbahasan berterima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas peruntukan bakul makanan namun mengharapkan agar Kementerian Pembangunan, Wanita dan Masyarakat perlu berperanan agar sumbangan tersebut serta bantuan-bantuan sampai khususnya kepada mereka yang tinggal di kawasan pendalaman.
Beliau turut mengharapkan agar kerajaan memainkan peranan dalam membantu usahawan, mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di mana menerusi kajian Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menggarkan hampir 580,000 atau 49 peratus dari PMKS berisko gulung tikar menjelang Oktober ini jika masih tidak dibenarkan beroperasi.
“Keputusan membuka persekolahan secara berperingkat yang akan dilakukan pembelajaran secara bersemuka selepas beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) juga diperhalusi kerana pelajar-pelajar ini perlu divaksin.
“Menteri bertanggungjawab perlu mencari pelan keluar bagi menyelesaikan permasalahan,”katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH