27 JULAI : Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengesahkan telah menerima surat daripada Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Tengku Mohd Hamzah untuk menukar tempat duduk di dalam Dewan Rakyat.
Justeru, beliau telah mengarahkan Setiausaha Dewan Rakyat, Dr. Nizam Mydin Bacha Mydin untuk mengambil tindakan selanjutnya.
“Saya telah menerima surat daripada Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Tengku Mohd Hamzah bertarikh hari ini mengenai permohonan beliau untuk menukar tempat duduk sedia ada dalam Dewan Rakyat ke tempat baru berhampiran dengan blok Bebas.
“Selaku Yang di-Pertua Dewan Rakyat, saya mengambil maklum keputusan Ahli Parlimen Gua Musang tersebut dan telah mengarahkan Setiausaha Dewan Rakyat mengambil tindakan sewajarnya,”katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Tengku Razaleigh yang juga Pengerusi Penasihat UMNO mohon untuk menukar tempat duduk dalam Dewan Rakyat.
Beliau dalam surat ditujukan kepada Azhar meminta ditempatkan bersama kumpulan Ahli Parlimen Bebas yang tidak menyokong kerajaan.
Tengku Razaleigh sebelum ini sering mengkritik pentabiran kerajaan Perikatan Nasional dan mempertikai tindakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang dianggap membelakangkan perlembagaan negara.
Dalam susunan tempat duduk dalam Dewan Rakyat, Tengku Razaleigh diletakkan bersama-sama ahli parlimen UMNO yang lain diblokkerajaan.
Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang telah menarik sokongan terhadap kerajaan pada Januari lalu juga diletakkan di blok kerajaan.