27 JULAI : Walaupun diasak ahli-ahli parlimen pembangkang dan penyokong kerajaan, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun bertegas jawapan mengenai isu pembatalan Ordinan Darurat pada 21 Julai hanya akan dibuat pada Isnin ini.
Beliau berkata, perkara itu yang diputuskan semasa persidangan semalam adalah seperti diperuntukkan dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM).
Menurut Azhar, keputusan sedemikian dibuat bagi memastikan setiap pembahas dan prosedur AUM dilaksanakan mengikut perancangan serta masa ditentukan.
“Semalam kita bercakap mengenai Majlis Pemulihan Negara namun oleh kerana saya rasa sudah lama tak berjumpa, maka jadi kucar kacir sedikit, semua amat bersemangat untuk bercakap.
“Maka, kita campur semua perkara dalam satu sesi sedangkan kita ada lima hari seperti ditetapkan seperti dalam aturan mesyuarat,” katanya di Dewan Rakyat, Selasa.
Sehubungan itu, beliau meminta semua ahli parlimen mengikut aturan mesyuarat termasuk menunggu jawapan mengenai Ordinan Darurat yang ditetapkan hari Isnin.
Katanya, beliau telah arahan Menteri Undang-Undang untuk menjawab semua persoalan yang berbangkit mengenai apa yang diperkatakan termasuk rasa tidak puas hati ahli-ahli parlimen berhubung perkara tersebut.
Sejak semalam, ahli-ahli parlimen pembangkang mendesak Yang Dipertua Dewan Rakyat membenarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan, menjawab isu itu tanpa perlu menunggu Isnin.– Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH