27 JULAI: Kerajaan sedia meminda Akta Pencen 1980 dan Akta Perubatan 1971 bagi membolehkan doktor kontrak di hospital kerajaan diserapkan terus ke jawatan tetap di bawah Kementerian Kesihatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata pindaan itu penting untuk membolehkan doktor kontrak terbabit memilih sama ada diserapkan ke jawatan tetap di bawah skim pencen atau caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Justeru, Dr Adham meminta semua Ahli Parlimen termasuk PH supaya menyokong penuh usul pindaan kedua-dua akta berkenaan dibentangkan ke Parlimen untuk kelulusan dalam tempoh dua tahun akan datang.
“Ketika ini kerajaan sedang melaksanakan langkah pelbagai interim termasuk melanjutkan kontrak doktor berkenaan selama dua tahun dan empat tahun lagi berdasarkan merit.
“Dalam masa dua tahun itu saya berjanji akan membawa draf pindaan Akta Pencen 1980 dan Akta Perubatan 1971 untuk dibahaskan dan dilulusan di Dewan Rakyat ini bagi membolehkan mereka diserapkan ke jawatan tetap sama ada di bawah skim pencen atau caruman KWSP.
“Jadi saya minta ahli yang berhormat (Ahli Parlimen) termasuk dari pembangkang supaya menyokong penuh pindaan kedua-dua akta berkenaan supaya semua doktor perubatan berada dalam sistem kesihatan di bawah KKM boleh diberikan jawatan tetap.
“Kerajaan berharap dapat membantu mereka mendapatkan jawatan tetap sama ada diletakkan di bawah skim pencen mahu pun KWSP,” katanya ketika mengulung ucapan sempena penerangan mengenai ‘Tindakan Menangani Pandemik COVID-19 sempena Mesyuarat Khas Parlimen hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Adham juga memberi jaminan bahawa tiada tindakan disiplin terhadap doktor kontrak yang terlibat dalam Gerakan Hartal atau mogok secara aman yang berlangsung di hospital seluruh negara semalam.
Malah, Dr Adham menegaskan doktor kontrak terbabit berhak berkumpul untuk menyuarakan pandangan masing-masing.
“Berkaitan doktor kontrak (yang menyertai hartal), mereka tidak akan dikenakan apa-apa tindakan.
“Tiada tindakan akan dikenakan ke atas mereka walaupun mereka keluar untuk demonstrasi. Kita tidak akan ambil tindakan, mereka berhak menyertai perhimpunan berkenaan,” katanya.
Dr Adham berkata demikian ketika menjawab pertanyaan dikemukakan oleh Bekas Menteri Kesihatan di zaman PH menjadi kerajaan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (Ahli Parlimen PH-Kuala Selangor) sama ada KKM akan mengambil tindakan terhadap doktor yang terlibat dalam hartal di seluruh negara semalam.