27 JULAI: Perbahasan sebahagian Ahli Parlimen dilihat gagal menjadikan persidangan Dewan Rakyat sebagai medan bagi membincangkan soal kebajikan dan kesejahteraan rakyat sebagaimana yang diharapkan.
Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata, Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Tan Seri Muhyiddin Yassin juga gagal dibahaskan dengan baik dengan cadangan yang bernas, berkesan dan menyeluruh.
Sedangkan dahulunya, beliau menegaskan sebahagian daripada Ahli Parlimen tertentu telah bersungguh-sungguh mendesak kerajaan untuk mengadakan sidang Parlimen bagi tujuan membahaskan soal kepentingan dan kebajikan rakyat.
“Malangnya, apa yang diperlihatkan kepada rakyat adalah sebaliknya, mereka gelojoh membahaskan soal perebutan kuasa. Akhlak yang dipertontonkan amat memalukan rakyat, sehingga tiada hormat, sopan santun dan sangat memualkan.
“Ada juga yang tidak beradab sehingga tidak menghormati bacaan al-Fatihah yang dianjurkan oleh Perdana Menteri bagi dihadiahkan kepada mangsa yang meninggal akibat COVID-19,” katanya.
Mohd Zai berkata ini membuktikan terdapat Ahli Parlimen yang hanya berbahas semata-mata untuk meraih kepentingan kuasa dan bukanlah memikirkan soal kepentingan rakyat.
Menurut beliau, tiada cadangan dan inisiatif baharu yang dikemukakan kepada Parlimen untuk dibahaskan sepertimana yang dijanjikan kepada rakyat.
“Banyak masa dibazirkan kepada soal menegakkan hak masing-masing yang tidak berkaitan soal kebajikan rakyat. Apakah sebenarnya motif yang selama ini Parlimen perlu bersidang.
“Sedangkan apa yang berlaku semalam memperlihatkan kerakusan Ahli Parlimen tertentu bertindak diluar batasan hanya untuk kepentingan diri dan kelompok tertentu sahaja. Sesungguhnya rakyat sangat kecewa,” katanya.
Sementara itu, beliau turut mempersoalkan di manakah hala tuju ahli-ahli Parlimen tersebut terhadap titah Yang Dipertuan Agung, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sarankan dan harapkan daripada sidang Parlimen kali ini.
“Di antaranya supaya membincangkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat, Pelan Imunisasi Rakyat, Pelan Pemulihan Negara, menangani ekonomi yang semakin merosot, mewujudkan kestabilan politik dan pentadbiran kerajaan yang baik serta menurunkan suhu politik yang tinggi.
“Tetapi apa yang berlaku di Parlimen semalam amat menyedihkan, kesungguhan pihak kerajaan mengutamakan tanggungjawab untuk kebajikan dan keperihatinan rakyat tidak mendapat respon positif dan dokongan tanggungjawab bersama daripada sebahagian Ahli Parlimen.
“Mereka kelihatan lebih gelojoh membincangkan soal kuasa.Telah terzahir apakah motif sebenar mereka mahukan Parlimen bersidang. Mereka hanya mahu menukar kerajaan dan mahukan kuasa. Hal rakyat dijadikan alasan untuk bersidang,” katanya.
Justeru, beliau menyeru sudah sampai masanya rakyat membuat perubahan kerana memerlukan Ahli Palimen yang prihatin dan berjiwa rakyat, bertanggungjawab, matang dan bersopan santun serta berakhlak mulia.
“Parlimen bukan ‘sarkas ahli politik’ yang memualkan rakyat. Ummah menyeru kepada semua Ahli Parlimen agar menjadi contoh yang baik kepada rakyat, hormatilah mandat rakyat.
“Laksanakanlah tanggunjawab anda di Parlimen bagi membela rakyat dengan sebaiknya, kerana imbuhan yang anda terima dibayar oleh rakyat untuk berkhidmat kepada mereka,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH