27 JULAI: Isu kontrak pegawai perubatan dan farmasi tidak disambung dan diserap ke jawatan tetap sebagai kakitangan awam sebenarnya bermula pada zaman era pemerintah kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) lagi.
Justeru, Ahli Parlimen PAS Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman, berkata semua pihak tidak boleh menuding jari hanya kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sahaja kerana masalah berkenaan sudah berlarutan sejak zaman dua kerajaan sebelum ini lagi.
Bagaimanapun, Abdul Latiff berkata semua pihak harus ingat bahawa hanya kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini sahaja yang memberikan respons dan menggerakkan inisiatif bagi menyelesaikan masalah terbabit secara menyeluruh.
Malah, Abdul Latiff berkata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sudah mengarahkan Kementerian Kesihatan (KKM) supaya menyediakan satu perancangan komprehensif untuk menyelesaikan isu berkenaan.
“Penyelesaian masalah ini secara menyeluruh bukannya suatu perkara mudah kerana memerlukan perancangan rapi dan implikasi kewangan besar kepada negara berikutan beban penggajian akan meningkat melebihi RM2 bilion setahun dengan jangkaan pertambahan RM250 juta setahun untuk pengambilan semua graduan perubatan berjumlah 5,000 orang setiap tahun.
“Justeru, saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana melaungkan komitmen untuk menyelesaikan masalah terbabit menerusi pelaksanaan reformasi kepada sistem perkhidmatan yang menyeluruh kepada sistem negara.
“Ini adalah komitmen yang tidak pernah dinyatakan oleh dua kerajaan sebelum ini (BN dan PH). Perdana Menteri juga sudah memenuhi hampir kesemua tuntutan dibuat oleh kumpulan doktor kontrak terbabit termasuk dari segi penyambungan dan tempoh kontrak sehingga dua tahun, selain gaji dan cuti setara dengan doktor berjawatan tetap,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di sesi pertanyaan dan penerangan mengenai ‘Tindakan Menangani Pandemik COVID-19 dibentangkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, sempena Mesyuarat Khas Parlimen hari ini.