27 JULAI: Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan tidak memakai pelitup muka di Parlimen, semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, hasil siasatan mendapati Tajuddin telah menghadiri Sidang Mesyuarat Khas Ahli Dewan Rakyat.
“Pada hari yang sama, jam 2.30 petang, beliau didapati tidak memakai pelitup muka sewaktu sedang bersama dengan seorang individu lain di ruang legar Parlimen.
“Atas pelanggaran SOP tersebut maka satu notis kompaun telah dikeluarkan terhadap beliau pada hari ini, jam 1 petang, nilai kompaun akan diputuskan oleh Pejabat Kesihatan Daerah,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Hari ini, tular satu mesej serta gambar yang dimuat naik di Twitter yang memaparkan ahli Parlimen berkenaan telah melanggar SOP PKP dan rata-rata netizen mengecam sikap Tajuddin itu.
Pada 25 Mei lalu, Tajuddin yang juga bekas Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dikenakan kompaun RM1,500 atas kesalahan sama iaitu memakai pelindung muka tanpa memakai pelitup muka ketika mengadakan sidang media kemalangan Transit Aliran Ringan (LRT) di Kuala Lumpur.