28 JULAI: Kerajaan Persekutuan perlu memberi keutamaan kepada penduduk Sabah untuk mendapatkan vaksin dos tunggal yang sudah diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) sama ada CanSino dan Johnson & Johnson.
Ahli Parlimen BN-Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, langkah berkenaan perlu kerana kadar vaksinasi di Sabah sekarang masih rendah berbanding negeri lain di Malaysia.
Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata tindakan itu perlu bagi mempercepatkan proses vaksinasi di Sabah terutama di kawasan pedalaman dan kampung yang tidak mempunyai akses internet mahu pun talian telefon.
“Oleh itu saya berharap Kerajaan Persekutuan dan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin dapat memberikan keutamaan kepada penduduk Sabah untuk mendapatkan vaksin dos tunggal (CanSino mahu pun Johnson & Johnson) yang akan tiba di Malaysia tidak lama lagi.
“Langkah berkenaan perlu kerana tiada ramai penduduk di pedalaman dan kampung di Sabah dapat mendaftarkan diri untuk menerima vaksin menerusi aplikasi MySejahtera atau panggilan telefon kerana mereka tiada akses internet mahu pun talian tetap,” katanya ketika berucap di sesi penerangan mengenai program PICK oleh Khairy di Mesyuarat Khas Parlimen, hari ini.
Mengulas lanjut, Bung Moktar berkata tindakan berkenaan juga perlu kerana Program outreach Vaksinasi COVID-19 juga kurang berkesan berikutan ramai penduduk pedalaman Sabah hanya datang ke pusat pemberian vaksin (PPV) untuk mendapat suntikan dos vaksin pertama dan gagal hadir janji temu untuk dos kedua.
Dalam pada itu, Bung Moktar juga berharap kerajaan akan menghantar lebih banyak bekalan vaksin ke Sabah seperti dijanjikan bagi mempercepatkan program vaksinasi di negeri terbabit.
Beliau berkata tindakan itu perlu kerana masalah kekurangan bekalan vaksin menyebabkan banyak PPV di Sabah terpaksa menghentikan operasinya sementara waktu.
“Malah, saya difahamkan ketika ini secara keseluruhanya PPV di Sabah hanya dapat memberikan antara 10,000 hingga 12,000 dos vaksin sahaja sehari kerana masalah bekalan tidak mencukupi, sekali gus menyebabkan ada antaranya terpaksa ditutup.
“Kita perlukan lebih banyak bekalan vaksin kerana Sabah adalah sebuah negeri unik kerana kita bukan hanya perlu memberi vaksinasi kepada penduduk tempatan, malah pekerja asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) sekali.
“Kalau kita saja divaksin mereka (warga asing) tidak sama saja (kes penularan COVID-19 akan terus meningkat jika warga asing tinggal di Sabah tidak divaksinkan),” katanya.
Dalam pada itu, Bung Moktar juga menyarankan supaya semua penduduk Malaysia didaftarkan secara automatik sebagai mana diamalkan di beberapa negera termasuk Amerika Syarikat (USA) dan Russia, sekarang ini.