28 JULAI: Kerajaan memutuskan menangguhkan pemberian vaksin kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun berdasarkan syor dikemukakan kumpulan kerja teknikal kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata keputusan itu selaras dengan langkah United Kingdom (UK) yang menghentikan pemberian vaksin kepada golongan berkenaan.
Katanya, keputusan itu diambil selepas menerima laporan kesan sampingan berlakunya kes myocarditis dan pericarditis (radang jantung) iaitu sebanyak 40 kes per sejuta dos vaksin Pfizer yang diberikan kepada lelaki berusia 12 hingga 29 tahun.
“Pihak Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sudah memberi kelulusan untuk vaksin Pfizer diguna pakai untuk remaja berusia 12 hingga 17 tahun.
“Di Malaysia, penggunaan vaksin bergantung kepada pendaftaran NPRA dan nasihat pakar. Dalam hal ini kumpulan kerja teknikal mengesyorkan JKJAV untuk tangguh dahulu pemberian vaksin untuk remaja 12 hingga 17 tahun.
“Ini selaras dengan keputusan dibuat UK yang mana mereka tangguh dahulu pemberian vaksin kepada golongan,” katanya dalam sesi penerangan mengenai program vaksinasi negara di Dewan Rakyat, hari ini..