28 JULAI: Kerajaan sedia memberikan penjelasan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung semua perbelanjaan dan perjanjian perolehan vaksin COVID-19 pada bila-bila masa.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar, menegaskan beliau memberi jaminan bahawa kerajaan sentiasa terbuka dan telus mengenai perolehan vaksin dan pengurusan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kerana membabitkan peruntukan perbelanjaan dan implikasi besar kepada kewangan negara.
“Sudah pastinya, jumlah peruntukan sebanyak RM5.8 bilion ini menimbulkan persoalan tentang bagaimana wang ini telah dan akan dibelanjakan,” katanya dalam sesi penerangan mengenai program vaksinasi negara di Dewan Rakyat, hari ini.
“Malah, sehingga kini saya sendiri sudah dua kali menghadiri prosiding PAC iaitu pada 5 Januari lalu dan sekali lagi pada Isnin.
Dalam prosiding PAC ini, dokumen perjanjian perolehan vaksin serta butiran perbelanjaan bagi PICK telahpun dibentangkan.
“Selain daripada PAC, pada Jumaat lepas juga, MOSTI yang diwakili oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian telah memberikan keterangan di dalam prosiding Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi,” katanya dalam sesi penggulungan perbahasan penerangan mengenai Program Vaksinasi di Dewan Rakyat, hari ini..
Mengulas lanjut, Khairy berkata, bagi memastikan ketelusan dan keterbukaan program pelalian, satu taklimat kepada semua ahli Parlimen juga diadakan pada 22 Mac lalu di Putrajaya.