28 JULAI : Pihak Pengurusan Hospital Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID Bersepadu (PKRCB) Maeps Serdang membuat laporan polis ekoran terdapat enam petugas media dari pelbagai agensi masuk ke Kawasan Pusat Kuarantin dan Rawatan tersebut tanpa kebenaran.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintenden Md Noor Aehawan bin Mohamed berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung laporan tersebut.
“Pihak polis akan menjalankan siasatan di bawah kesalahan mengikut seksyen 448 Kanun Keseksaan atas kesalahan Menceroboh Kawasan, Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 atas kesalahan Ingkar SOP dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kesalahan membuat rakaman dan live di dalam kawasan yang dilarang.
“Setakat ini, pihak polis telah merakam keterangan seramai 17 orang kakitangan KKM yang terdiri daripada doktor dan jururawat yang bertugas semasa kejadian, bagi membantu siasatan pihak polis bagi mendapatkan pengesahan mengenai kehadiran media di dalam dewan tersebut.
“Pihak polis akan melengkapkan siasatan ini dengan segera sebelum Kertas Siasatan dimajukan kepada Pihak Timbalan Pendakwa Raya,”ujarnya menerusi satu kenyataan hari ini.
Difahamkan, kawasan tersebut merupakan sebuah Dewan yang menempatkan pesakit wanita yang Positif Covid 19 seramai 496 pesakit, di mana orang luar adalah dilarang bagi memasuki kawasan tersebut tanpa kebenaran.
Sehubungan itu, pihak polis menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang andaian dan tindakan yang boleh menyebabkan timbul kegusaran terhadap orang awam.