28 JULAI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor mengesahkan tiada individu yang menyertai Gerakan Hartal Doktor Kontrak di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Bersepadu (PKRCB) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Isnin lalu diambil tindakan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed pihaknya hanya merakam percakapan 12 petugas kesihatan di PKRCB tersebut bagi membantu siasatan isu pencerobohan fasiliti kesihatan itu membabit enam wartawan dari pelbagai agensi, pada hari sama.
“Tiada doktor di Selangor disiasat kerana menghadiri himpunan itu. Kita hanya merakam percakapan petugas kesihatan berhubung insiden pencerobohan PKRC MAEPS Serdang, Isnin lalu.
“Siasatan awal mendapati seramai enam wartawan didapati memasuki pusat kuarantin itu tanpa kebenaran dan kita bertindak selepas Pengarah PKRC MAEPS membuat laporan polis, jam 4 petang, semalam,” katanya pada sidang media secara siaran langsung, hari ini.
Dalam pada itu, Arjunaidi memaklumkan, kesemua 12 petugas kesihatan itu dirakam percakapan sepanjang waktu mereka bertugas secara bergilir-gilir antara 12 tengah malam hingga 3 pagi.
Beliau berkata, pihaknya telah mengenal pasti wartawan terbabit dalam pencerobohan itu dan kesemua enam petugas media dari pelbagai agensi itu akan dipanggil untuk dirakam percakapan dalam masa terdekat.
“Petugas kesihatan ini bertugas 8 malam sampai 3 pagi. Kalau kita rakam selepas dia bertugas sudah tentu dia letih. Kita ambil waktu bertugas secara bergilir dengan kebenaran pihak MAEPS.
“Di situ ada tiga zon, ada zon hijau, kuning dan merah, ia jadi tempat larangan bukan boleh dimasuki sembarangan. Mengikut laporan pengarah MAEPS, wartawan ini masuk di zon kuning, iaitu kawasan kuarantin tahap tiga dan empat,” katanya.
“Kita akan panggil wartawan yang terlibat pencerobohan itu, kita juga sudah kenal pasti wartawan yang terlibat. Kita nak segerakan siasatan kita…tak nak ada pihak lain ambil kesempatan untuk memutarbelitkan isu ini,” katanya.
Sementara itu, beliau memberitahu, tindakan tersebut bukan untuk menyekat kebebasan media, sebaliknya pihak polis mahu memastikan keselamatan dan kesihatan kesemua enam wartawan bagi mengelakkan mereka dijangkiti dan menularkan wabak COVID-19.
“Mereka bukan sahaja menceroboh masuk ke kawasan larangan, bahkan mereka juga membahayakan diri sendiri dan boleh membawa penyakit ke luar, apatah lagi mereka hanya memakai pelitup muka, bukan PPE.
“Bukan kita nak halang kebebasan bersuara, tapi jadi kesalahan masuk ke kawasan tidak patut dimasuki. Kita tak pernah sekat kebebasan media, tapi kita tak akan biar media bunuh diri ke situ. Jadi, tanggungjawab kita jaga keselamatan rakyat,” katanya.
Terdahulu, beberapa media tempatan melaporkan seramai 12 doktor kontrak yang menyertai Hartal Doktor Kontrak di PKRCB MAEPS pada 26 Julai lalu telah diambil keterangan oleh polis tengah malam tadi.
Namun Menteri Kesihatan, Datuk Dr Adham Baba ketika dihubungi PNBBC portal hari ini mengesahkan pihak sememangnya tidak akan mengambil tindakan disiplin terhadap mereka terbabit dan arahan mengenai perkara itu sudah diberikan.
Bagaimanapun katanya, Kementerian Kesihatan tidak dapat menghalang urusan pihak berkuasa lain berhubung perkara itu kerana laporan tidak datang daripada pihak kementerian.