28 JULAI : Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa dukacita ekoran terdapat beberapa pegawai kerajaan di Negeri Selangor terlibat dengan kegiatan rasuah yang boleh meruntuhkan imej pentadbiran dan nama baik seluruh pegawai Kerajaan di Negeri Selangor.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir menerusi kenyataan di Facebook rasmi Selangor Royal Office berkata, baginda menegaskan bahawa sesiapa saja pegawai Kerajaan di Negeri Selangor yang didapati bersalah terlibat dalam aktiviti rasuah atau pecah amanah, hendaklah dikenakan tindakan tatatertib dan hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.
“Mana-mana pegawai Kerajaan dan Ahli-Ahli Politik yang telah dikurniakan Darjah dan Bintang Kebesaran serta Pingat Negeri Selangor dan didapati telah melakukan kesalahan rasuah, maka kurniaan tersebut akan ditarik balik,” titah Baginda.
Sultan Selangor turut menzahirkan penghargaan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah melaksanakan tanggungjawab menyiasat dan memastikan aktiviti rasuah di Negeri Selangor ini dapat dibanteras.
“Justeru, Baginda menyeru pihak SPRM supaya terus menjalankan penyiasatan yang telus dan teliti serta mendapatkan bukti-bukti yang kukuh bagi memastikan mereka yang melakukan rasuah tersebut tidak terlepas daripada menerima hukuman yang sewajarnya.
Baginda juga mengingatkan bahawa rasuah dan penyalahgunaan kuasa ini adalah satu gejala yang boleh merosakkan masyarakat serta menjatuhkan negara.