28 JULAI: Kejadian tanah runtuh akibat hujan lebat di kem pelarian di tenggara Bangladesh menyebabkan sekurang-kurangnya enam etnik Rohingya termasuk dua kanak-kanak terbunuh semalam.
Arus deras turut menghanyutkan beberapa khemah sementara di kem pelarian yang sesak dengan kira-kira sejuta penghuni yang melarikan diri dari Myanmar, di kawasan berbukit di Cox’s Bazar itu.
Menurut Pesuruhjaya Penempatan Semula, Mohammad Shamsud Douza, salah seorang mangsa kanak-kanak mati tertimbus dalam kejadian banjir lumpur itu.
“Tanah runtuh pula meragut lima nyawa dan seorang lagi mangsa mati lemas manakala seorang rakan sekerjanya serta dua kanak-kanak cedera.
“Setakat ini, kami sudah menemui enam mayat dan belum menerima sebarang laporan lain walaupun hujan lebat masih berterusan,” katanya.
Seorang lagi Pesuruhjaya Penempatan Semula, Shah Rezwan Hayat, berkata hujan lebat sejak dua hari lalu di penempatan Balukhali di Cox’s Bazar menyebabkan tanah runtuh.
“Ada kemungkinan banyak lagi kediaman yang musnah di kem yang lain dan kami sudah memindahkan kira-kira 1,500 keluarga dari kawasan yang paling terjejas serta berisiko tinggi berlaku tanah runtuh.
“Kebanyakan keluarga kini berlindung di pusat masyarakat, masjid dan madrasah,” katanya.