29 JULAI: England akan membenarkan individu dari Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) yang sudah lengkap vaksin COVID-19 mengunjungi negara tersebut tanpa perlu menjalani kuarantin.
Polisi itu akan berkuat kuasa mulai 4 pagi (waktu tempatan) pada 2 Ogos depan, lapor al Jazeera.
“Kami ingin membantu menyatukan semula individu yang tinggal di AS dan negara EU dengan keluarga dan rakan mereka,” kata Menteri Pengangkutan, Grant Shapps menerusi ciapan di Twitter.
Perubahan itu akan memberi manfaat kepada pelancong sama ada untuk bercuti atau mengunjungi orang tersayang.
Katanya, pengunjung yang menerima suntikan vaksin COVID-19 yang diluluskan oleh AS dan EU tidak perlu menjalani kuarantin.
Peraturan baharu itu berkuat kuasa di England namun dijangka diikuti oleh seluruh United Kingdom (UK) tidak lama lagi.
Sebelum ini, kes baharu COVID-19 tertinggi di UK ialah 54,674 pada 17 Julai dan turun ke 23,511 kes pada 27 Julai lalu.