29 JULAI : Indonesia dikhuatiri menjadi pusat krisis pandemik COVID-19 dan menjadi negara terakhir keluar daripada pandemik tersebut, jika tiada sebarang usaha drastik yang dilakukan pemerintah dalam usaha mengatasi penularan jangkitan yang semakin membimbangkan.
Ini memandangkan, tindakan yang diambil pemerintah republik itu dilihat lebih dipengaruhi kepentingan politik dan ekonomi berbanding kesihatan.
Pemerhati kesihatan awam khuatir tindakan pemerintah republik tersebut akan melenyapkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dan mampu mencetuskan protes besar-besaran.
Pakar epidemiologi dari Griffith University, Australia, Dicky Budiman, berpendapat semua tindakan itu banyak dipengaruhi tolak ansur politik dan ekonomi berbanding kesihatan.
Sebagai contohnya menurut beliau, tindakan pemerintah mengadakan pemilihan daerah (Pilkada) atau pilihan raya daerah secara serentak pada Disember lalu meskipun ditentang pakar kesihatan.
Bagaimanapun, pemerintah Indonesia menafikan perkara tersebut dengan menjanjikan penambahan Anggaran Pendapatan dan Belanja Negara (APBN) untuk kesihatan pada tahun depan.
Sepanjang pandemik COVID-19 ini, kerajaan Indonesia melaksanakan lima tindakan bermula dengan Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) pada Mac 2020 disusuli Pelaksanaan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) mulai Januari lalu.
Indonesia berada di kedudukan teratas sebagai penyumbang tertinggi kes dan kematian harian di dunia sejak beberapa hari lalu.