29 JULAI: Walaupun kerajaan mengalami kerugian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sebanyak RM1.1 billion ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 namun kerugian lebih tinggi dicatatkan kira-kira RM2.4 billion sewaktu PKP penuh pada tahun lalu.
Justeru, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan KDNK pada tahun 2021 dijangka mencatatkan pertumbuhan lebih rendah berbanding anggaran awal sebelum ini, iaitu antara 6 hingga 7.5 peratus.
Menurut beliau, anggaran rasmi akan diumumkan pada bulan Ogos bersama laporan suku kedua KDNK nanti, di mana kesan PKP dan pelaksanaan PPN ke atas ekonomi pada separuh pertama tahun ini akan dapat dilihat sepenuhnya.
“Sudah tentu krisis ini juga memberi kesan kepada pasaran buruh kita. Walau bagaimanapun, kadar pengangguran telah menyederhana kepada 4.5 peratus pada Mei tahun ini berbanding 5.3 peratus setahun yang lepas, iaitu kadar tertinggi sejak tahun 1990.
“Alhamdulillah, dengan membenarkan sektor ekonomi dibuka secara bersasar dan disokong dengan bantuan-bantuan, kita berjaya mengelak daripada kadar pengangguran naik dengan mendadak dan lebih ramai lagi pekerja diberhentikan.
“Malah, sejak bulan Oktober yang lepas, tawaran untuk pekerja mahir telah mula meningkat hasil program-program Kerajaan untuk meningkatkan peluang pekerjaan yang lebih berkualiti,” katanya ketika sesi penerangan berkenaan Pakej-Pakej Bantuan Ekonomi di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, berikutan langkah penutupan ekonomi, Tengku Zafrul memaklumkan KDNK negara telah menguncup sebanyak 5.6 peratus tahun lalu.
“Malah bukan hanya Malaysia yang terkesan, tetapi banyak negara lain seluruh dunia juga mengalami kemelesetan ekonomi seperti beberapa contoh: Singapura yang menjunam 5.4 peratus, United Kingdom mencatatkan pertumbuhan negatif 9.8 peratus, Jepun negatif 4.7 peratus dan Filipina negatif 9.6 peratus.
“Namun, setelah kita lebih memahami kesan wabak berkenaan, kita telah melaksanakan PKP yang lebih bersasar. Ini membolehkan aktiviti ekonomi terpilih untuk terus berjalan, sekali gus memberi kelegaan untuk rakyat keluar mencari rezeki di samping mengurangkan tekanan ke atas beban kewangan Kerajaan supaya dapat terus memberi bantuan,” katanya.
Sementara itu, Tengku Zafrul memaklmkan,sehingga akhir Jun tahun ini, paras hutang statutori telahpun mencecah 56.8 peratus, namun jumlah masih di bawah had statutori 60 peratus KDNK yang dibenarkan.
Dengan ruang fiskal yang terhad, beliau memberitahu kerajaan tiada pilihan selain mengoptimumkan sumber pembiayaan sedia ada melalui rasionalisasi perbelanjaan, peningkatan hasil daripada ekosistem Kerajaan termasuk penggunaan dana KWAN serta bersedia meningkatkan had siling KWC-19.
“Dalam masa yang sama, Kerajaan bersedia melonggarkan peraturan had hutang untuk menyokong pelan pemulihan ekonomi berdasarkan kemampuan keberhutangan negara. Oleh itu, Kerajaan akan mengusulkan di dalam Dewan yang mulia ini cadangan pindaan tersebut pada penggal akan datang.
“Sebelum pandemik COVID-19 melanda negara, kita berada di atas landasan pengukuhan fiskal yang konsisten sejak negara beralih keluar dari krisis kewangan global pada tahun 2009, di mana defisit kita dikurangkan dari 6.7 peratus kepada 3.4 peratus pada 2019, sebelum meningkat semula kepada 6.2 peratus pada tahun 2020,” katanya.
Justeru, beliau berkata, kerajaan akan melaksanakan langkah konsolidasi dan pengukuhan kedudukan fiskal kerajaan termasuk meluaskan asas hasil, mengukuhkan pentadbiran dan pematuhan cukai serta meningkatkan kecekapan perbelanjaan bagi mengawal paras defisit fiskal Kerajaan setelah ekonomi kembali pulih
“Pengenalan Strategi Hasil Jangka Sederhana merupakan salah satu langkah memastikan kutipan hasil mampu membiayai perbelanjaan Kerajaan. Selain itu, Akta Tanggungjawab Fiskal juga sedang digubal bagi menambah baik tadbir urus dan ketelusan dalam pengurusan fiskal negara. Namun, Kerajaan memberi komitmen tidak akan memperkenalkan sebarang pembaharuan fiskal selagi ekonomi belum stabil,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH