29 JULAI : Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah mengesahkan pihaknya dalam proses untuk memanggil penyanyi rap Ariz Ramli atau Caprice dan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.
Menurut beliau, pihaknya akan membuat rakaman percakapan bagi membantu siasatan susulan laporan yang pendakwah terkenal, Ebit Lew yang mendakwa difitnah beberapa individu berkaitan misi itu menerusi media sosial.
“Kita masih belum rekod percakapan dua individu ini dan belum ada tarikh lagi untuk perkara tersebut, namun ia sedang berusaha untuk berbuat demikian.
“Setakat ini, hanya Ebit yang sudah diambil keterangan. Saya akan maklumkan jika ada perkembangan lanjut berkaitan kes ini,” katanya kepada sebuah akhbar hari ini.
Pada 22 Julai lalu, Ebit dilaporkan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju untuk dirakam percakapan berkaitan isu terbabit.
Sebelum ini, pendakwah terkenal itu dipetik menafikan dakwaan Muhammad Nadir yang pihaknya membayar ratusan ribu dolar kepada syarikat Hala untuk memasuki Gaza.
Menurut Ashari, kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 500 serta 504 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.