30 JULAI: Sebanyak 22 lokaliti di Sabah dan Kampung Tanjung Kerayong Mentakab di Temerloh, Pahang akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Ahad ini.
Menteri Kanan Luar (Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, daripada jumlah itu, enam daripadanya di Tawau iaitu Bandar Sabindo, Kampung Rancangan Sungai Tongkang, Taman Kukusan, Batu 2 Lorong Habib Abdul Rahman Jalan Apas, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Semarak serta Taman Berjaya.
Menurut beliau, lima lokaliti pula yang akan akan dikenakan PKPD di Keningau adalah Kampung Bariawa Laut, Kampung Baitah, Kampung Panagatan Ulu, Kampung Kota Ayangan dan Rumah Kongsi Jutaya Lingkudau.
“Selain itu, Kampung Seri Aman, Taman Orkid serta Kampung Damaran Banggi di Kudat turut dilaksana PKPD manakala Sandakan, lokaliti yang terlibat adalah Kampung Lupak Meluas Darat, Kampung Sundang Laut dan Flat Taman Sejati.
“Manakala lima lagi lokaliti yang akan dikenakan PKPD adalah Taman Sempelang, Sembulan serta Kampung Sembulan Tengah & Lama di Kota Kinabalu; Kampung Tempasuk 1, Kota Belud; Kampung Tengah Padang, Putatan dan Kampung Babagon di Penampang.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa PKP semua lokaliti akan dilaksanakan PKPD mulai 1 Ogos sehingga 14 Ogos depan. PKPD ini dilaksanakan bagi memudahkan Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan pengesanan awal kes.
“Ini juga bagi memastikan penduduk yang berisiko dijangkiti kekal berada di kawasan PKPD bagi mengelakkan penularan jangkitan keluar daripada lokaliti tersebut,” katanya menerusi kenyataan media perkembangan harian Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan PKPD, hari ini.
Dalam pada itu, kerajaan juga bersetuju untuk menamatkan PKPD di 19 lokaliti di Pahang, Sabah, Sarawak dan Selangor berikutan berlakunya penurunan kes.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, 10 lokaliti yang ditamatkan terletak di Kuantan, Pahang iaitu Tanjung Lumpur, Peramu, Anak Air, Sg Derhaka, Kempadang, Sungai Soi, Kampung Pahang, Taman Seri Inderapura, Sungai Isap dan Lorong Seri Teruntum.
“Selain 10 lokaliti tersebut, Taman Chengal, Temerloh dan Kampung Belangkap, Rompin di Pahang turut ditamatkan. Jalan Pandan Indah, Mukim Ampang di Hulu Langat, Selangor dan Kampung Garung, Kuching, Sarawak.
“Lokaliti yang akan ditamatkan di Sabah pula adalah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Ehsan di Kudat, Kampung Naruntung di Pitas, Kampung Pinalobuh Bukid di Kota Belud, dan Ladang Sawit KLK Lungmanis & Perumahan Kilang, Mukim Silabukan, Lahad Datu.
“Sementara itu, kerajaan juga turut melanjutkan PKPD di Taman Tas & Pandan, Taman Indera Sempurna, Taman Impianku di Kuantan Pahang serta Kampung Siansai Dundau, Kota Belud di Sabah bermula 1 Ogos 14 Ogos 2021,” katanya.
Sementara itu, bagi task force operasi pematuhan, beliau turut mengesahkan jumlah mereka yang ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam merekodkan jumlah 228 individu dan daripada jumlah itu, seramai 222 individu dikompaun dan enam orang lagi telah direman.
Pada masa sama, Hishamuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong memberitahu, sebanyak 67 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.
“Tindakan itu diambil selepas pihak penguat kuasa melakukan pemeriksaan ke atas 2,025 buah kilang, 15,573 premis perniagaan, 923 tapak pembinaan dan 357 buah asrama penempatan pekerja,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH