30 JULAI: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan penghargaan atas sumbangan kerajaan Arab Saudi di bawah pemerintahan Raja Salman Abdulaziz Al Saud.
Kerajaan Arab Saudi hari ini telah menyumbangkan sebanyak sejuta dos vaksin AstraZeneca dan 4.5 juta unit peralatan perubatan bernilai AS$5 juta (RM21.15 juta) bagi membantu Malaysia menangani cabaran pandemik COVID-19.
Seri Paduka Baginda berdua juga turut menzahirkan penghargaan kepada Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman Abdulaziz Al Saud dan Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al Saud atas sumbangan itu yang tiba di Malaysia menerusi dua buah pesawat Saudia Airlines semalam dan hari ini.
“Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri amat menghargai kemurahan hati Raja Salman Abdulaziz Al Saud yang telah menitahkan Pusat Kemanusiaan Raja Salman (KSrelief) supaya segera menyalurkan sumbangan vaksin dan peralatan perubatan kepada Malaysia.
“Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein atas pelaksanaan kerjasama di antara Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi dalam menjayakan sumbangan bekalan vaksin dan peralatan perubatan ini,” kata Istana Negara menerusi kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, turut merakamkan penghargaan Seri Paduka Baginda kepada Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan dan kerajaan Arab Saudi atas sumbangan ini.
“Sumbangan ini jelas membuktikan persahabatan dan hubungan baik yang terjalin sejak sekian lama di antara kerajaan dan rakyat kedua-dua negara.
“Semoga sumbangan bekalan vaksin dan peralatan perubatan ini membantu negara memerangi pandemik COVID-19 dan memperhebatkan lagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
“Seri Paduka Baginda berdua turut mengambil kesempatan ini menyeru rakyat untuk bersama mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan pandemik COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” katanya.
Terdahulu, Hishammuddin mengesahkan kerajaan Arab Saudi menghantar tiga pesawat berisi pelbagai bantuan peralatan perubatan ke Malaysia, hari ini dalam usaha membantu negara ini menghadapi penularan jangkitan COVID-19.