30 JULAI: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) akan terus meningkatkan usaha memperkasa budaya berintegriti pegawai penguatkuasa dan agensi penguatkuasaan di bawah seliaanya di Selangor selari dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
EAIC dalam satu kenyataan berkata, suruhanjaya berkenaan akan memainkan peranannya selaku agensi yang bertanggungjawab mengawal selia pematuhan integriti pegawai penguat kuasa dan agensi penguatkuasaan di bawah Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].
“EAIC menjunjung kasih atas titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj pada Rabu, 28 Julai 2021 yang telah menzahirkan kebimbangan terhadap aktiviti rasuah atau pecah amanah yang boleh meruntuhkan imej pentadbiran dan nama baik pegawai Kerajaan di Negeri Selangor.
“EAIC menyanjung tinggi pendirian dan ketegasan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dalam memastikan aktiviti rasuah atau pecah amanah di Negeri Selangor dapat dibenteras” katanya dalam satu kenyataan hari ini