30 JULAI: Semua pemimpin politik diseru mengenepikan kepentingan serta agenda politik bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha menangani pandemik COVID-19 menerusi Pelan Pemulihan Negara (PNN).
Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, isu kesihatan, kebajikan dan pemulihan ekonomi rakyat serta negara perlu diberikan keutamaan ketika ini berbanding perebutan kuasa dan agenda peribadi.
Justeru, beliau yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Melaka, meminta semua pihak bersatu hati menjaga kestabilan politik yang amat signifikan bagi menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang direncana kerajaan
“BERSATU Melaka akan terus menghormati, menjunjung dan memelihara sistem Raja Berperlembagaan, keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang negara.
“Pada masa sama, BERSATU Melaka teguh menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus mengemudi Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan negara,” katanya menerusi kenyataan.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk Razali Idris berkata, dalam situasi krisis sekarang, tidak perlu ada mana-mana pemimpin politik ‘menangguk di air keruh’ bagi menampakkan kerajaan tidak stabil.
Justeru, beliau meminta pemimpin politik tidak mengambil kesempatan mengangkat agenda peribadi, termasuk untuk menjadi Perdana Menteri.
“BERSATU Terengganu mendukung penuh kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang diyakini mempunyai sokongan cukup di Dewan Rakyat untuk terus menerajui negara melawan pandemik COVID-19,” katanya.
Razali berkata, penzahiran pandangan serta titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan sentiasa dijunjung dan terus didukung bersama kedaulatan institusi Raja Berperlembagaan dan Perlembagaan Persekutuan.
“BERSATU Terengganu melihat kerajaan sentiasa menjunjung titah dan pandangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah termasuk berhubung Ordinan Darurat.
“Kita juga menjunjung kasih titah penghargaan dizahirkan Al-Sultan Abdullah kepada kerajaan kerana melaksanakan mesyuarat khas Parlimen mulai Isnin lalu.
“BERSATU negeri turut menerima baik penjelasan kerajaan bahawa pembatalan ordinan dibuat secara teratur selaras Perlembagaan Persekutuan,” katanya.