30 JULAI: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyeru kepimpinan politik memberi fokus ke arah menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) demi kesejahteraan dan kesihatan rakyat.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata GPS mendukung penuh Sistem Raja Berpelembagaan.
Beliau berkata, pihaknya berharap agar kemelut politik yang melanda negara ketika ini akan segera berakhir demi memerangi wabak COVID-19.
“Dalam keadaan negara berdepan krisis pandemik COVID-19 dan berusaha memulihkan ekonomi negara, kestabilan politik amat diperlukan.
“Kita perlu fokus ke arah menjayakan PPN demi kesejahteraan dan kesihatan rakyat serta pemulihan ekonomi.
“Sama-sama kita berdoa agar kemelut politik yang melanda negara berakhir segera dan negara segera bebas daripada pandemik COVID-19,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tetap mendapat sokongan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan UMNO di sebalik kemelut serta ketidakstabilan politik negara ketika ini.
Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pendirian itu sudah dinyatakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.
PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) juga berdiri teguh menzahirkan sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perkara itu dinyatakan oleh kedua-dua timbalan presiden parti tersebut iaitu Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH