30 JULAI: Jumlah keseluruhan pemberian vaksin COVID-19 di Malaysia menghampiri angka 20 juta termasuk 556,404 dos suntikan yang diberikan semalam, angka tertinggi yang direkodkan setakat ini.
Ini menjadikan kadar vaksinasi harian COVID-19 negara terus mencatatkan perkembangan memberangsangkan apabila merekodkan lebih 500,000 dos suntikan untuk empat hari berturut-turut.
Sehingga 29 Julai, sebanyak 19.5 juta dos vaksin telah diberikan sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bermula hujung Februari lalu.
Menurut data Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV), pemberian dos pertama merekodkan angka 343,530 manakala bagi dos kedua, 212,874.
Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang pula merekodkan 238,318 dos diberikan secara keseluruhan, semalam.