31 JULAI : Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azhar Azizan Harun menarik diri daripada terlibat dalam sebarang keputusan berhubung usul di Parlimen yang bersangkutan dengan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.
Menurut Azhar, pejabatnya telah menerima satu usul bertarikh 29 Julai lalu daripada Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran di mana usul tersebut bersangkutan dengan Peguam Negara.
“Sebagaimana yang diketahui umum, Tan Sri Idrus Harun ialah abang kandung saya.
“Oleh kerana itu, saya membuat keputusan untuk mengecualikan diri saya daripada membuat apa-apa keputusan mengenai, berkenaan ataupun yang bagaimana jua pun berkaitan dengan Usul tersebut,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.
Justeru katanya lagi, apa juga keputusan mengenai, berkenaan dan berkaitan dengan usul itu telah beliau serahkan kepada Timbalan-timbalan Yang di-Pertua mengikut kedudukan kekananan mereka iaitu, pertamanya, Datuk Mohd Rashid Hasnon dan keduanya, Datuk Seri Azalina Othman Said.
“Saya tidak akan campur tangan di dalam apa cara sekalipun di dalam pelaksanaan tugas timbalan-timbalan Yang di-Pertua di dalam hal berkaitan,” ujarnya.