31 JULAI : China melaksanakan perintah sekatan pergerakan semalam dalam usaha memerangi wabak COVID-19 terburuk sejak beberapa bulan lalu, manakala Jepun pula melanjutkan tempoh darurat akibat jangkitan yang semakin meningkat.
Kes jangkitan di bandar Nanjing, China berkaitan pekerja lapangan terbang awal bulan ini sudah merebak ke Beijing dan lima wilayah sehingga semalam.
Ekoran itu, pemerintah China terpaksa melaksanakan perintah sekatan pergerakan membabitkan ratusan ribu orang di wilayah Jiangsu, manakala 41,000 penduduk di daerah Changping Beijing diarahkan tinggal di rumah.
Sementara itu, kerajaan Jepun turut melanjutkan perintah darurat di Tokyo dan memperluas ke empat wilayah lagi selepas kes baharu mencecah 10,000 buat pertama kali pada Khamis lalu.
Perintah darurat di negara itu dilanjutkan ketika Tokyo menjadi tuan rumah Sukan Olimpik, ekoran 27 kes baharu yang berkaitan dengan temasya itu dilaporkan, di mana ia merupakan angka harian tertinggi negeri itu setakat ini.
Biarpun kes di Jepun lebih kecil berbanding di negara luar iaitu sebanyak 3, 300 jangkitan baharu dilaporkan di Tokyo semalam, tetapi pakar berkata sistem perubatan sudah berisiko dibanjiri pesakit memandangkan hanya satu perempat penduduknya diberi vaksin sepenuhnya.
Sementara itu, negara Australia semalam mengumumkan bahawa ia tidak akan membuka semula sempadan dan membatalkan sekatan pergerakan sehingga kadar vaksinasi mencapai 80 peratus.
Manakala kerajaan Jerman juga memperketat langkah sekatan kepada mana-mana individu yang tidak divaksinasi daripada memasuki negara itu tidak kira sama ada mereka tiba dengan kapal terbang, kereta atau kereta api.
Filipina pula bertindak menutup lapangan terbangnya bagi sebahagian besar perjalanan antarabangsa selama berbulan-bulan, termasuk akan melaksanakan perintah sekatan pergerakan kepada lebih 13 juta penduduk di ibu negara minggu depan kerana peningkatan kes yang berkaitan dengan varian Delta.
Purata kes harian baharu global meningkat sebanyak 10 peratus pada minggu lalu, sebahagian besarnya disebabkan oleh varian Delta yang sangat menular selepas jangkitan mulai turun antara akhir April dan pertengahan Jun.
Walaupun wilayah Asia Pasifik teruk dilanda jangkitan dengan Vietnam dan Jepun mencatat lonjakan kes harian sebanyak 61 peratus, negara barat juga berdepan peningkatan kes dengan Amerika Syarikat dan Kanada mencatatkan lebih 57 peratus jangkitan.