31 JULAI: Penganjur perhimpunan haram #Lawan wajar dikenakan tindakan undang-undang kerana melanggar larangan berhimpun secara beramai yang ditetapkan di bawah Seksyen 10 Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit Akta (Akta 342).
Pakar Sosial, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata tindakan tegas perlu kerana Malaysia kini berhadapan situasi amat membimbangkan apabila setiap hari Kementerian Kesihatan melaporkan beribu kes baharu COVID-19 dikesan setiap hari.
Beliau berkata, penganjuran perhimpunan haram seumpama itu bukan hanya meningkatkan risiko penularan kes COVID-19 malah akan menyusahkan petugas barisan hadapan yang sudah lebih setahun berjuang dan bertungkus lumus untuk memastikan landaikan lekuk pendemik berkenaan.
“Seperti mana kita maklum jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sekarang memang banyak dan amat merisaukan. Selain itu, kita tahu bahawa kerajaan terutama petugas barisan hadapan dan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) sudah lama bertungkus lumus untuk memastikan jumlah kes positif COVID-19 dapat diturunkan dengan kadar segera.
“Ini kerana sekiranya KKM gagal menurunkan kadar kes positif di negara ini maka ia akan memberikan impak besar kepada ekonomi, kelangsungan hidup rakyat dan negara pada masa depan.
“Justeru, kita berharap masyarakat dapat memahami komitmen dan matlamat murni kerajaan untuk menangani pandemik COVID-19, secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi wartawan PNBBC di sini, hari ini.
Mohammad Shatar yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berkata penganjuran perhimpunan haram berkenaan akan mengganggu usaha kerajaan untuk mengurangkan kadar penularan COVID-19 dalam masyarakat.
Ini kerana, menurut Mohammad Shatar dalam keadaan rakyat Malaysia sentiasa berwaspada sekali pun jumlah kes COVID-19 meningkat, inikan pula dalam keadaan tidak terkawal seperti mana yang berlakunya perhimpunan haram atau mogok di ibu negara hari ini.
“Kita tidak mahu melihat Malaysia menjadi seperti India dan beberapa negara lain yang sudah sistem kesihatannya berikutan peningkatan kes COVID-19 yang sudah tidak dapat dikawal oleh pihak agensi kesihatannya kerana terlalu ramai.
“Kita tidak mahu perkara sama berlaku di Malaysia sehingga pesakit COVID-19 terpaksa meneri rawatan di luar hospital kerana kes terlalu banyak dan tidak cukup tempat.
“Jadi saya berharap semua pihak dapat memahami dan tidak mengadakan perhimpunan beramai-ramai sehingga mengeruhkan lagi situasi COVID-19 yang kritikal di Malaysia sekarang,” katanya.
Dalam pada itu, Mohammad Shatar berkata beliau berharap pihak berkuasa tidak memilih kasih dalam mengambil tindakan kepada peserta perhimpunan haram terbabit.
“Malaysia mempunyai pelbagai SOP, jadi sesiapa sahaja melanggarnya wajar dikenakan tindakan tegas tanpa pilih kasih atau mengira pangkat atau kedudukan masing-masing sama ada orang biasa atau ahli politik.
“Antara SOP yang perlu dipatuhi peserta perhimpunan haram berkenaan termasuk dari segi penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, tidak dibenarkan menghadiri perhimpunan beramai-ramai dan sebagainya.
“Kita kena banyak bersabar dan tidak boleh mengharap hari ini umum SOP, esok terus nampak hasilnya kerana ia mungkin mengambil masa,” ujarnya.